ISU-ISU SEMASA
26/09/2003
OBIHIRO, Jepun 26 Sept. - Satu gempa bumi kuat berukuran 8.0 pada skala Richter menggegarkan pulau Hokkaido, utara Jepun awal hari ini dengan menyebabkan lebih 480 orang cedera dan kira-kira 41,000 penduduk terpaksa berpindah. Gempa bumi itu merupakan yang paling kuat di seluruh dunia pada tahun ini. Gegaran itu juga menyebabkan sekitar 16,000 rumah bergelap apabila bekalan elektrik terputus, sebuah kereta api tergelincir dan sebuah tangki minyak terbakar. Kejadian pada pukul 4.50 pagi itu menyebabkan keretakan jalan raya, bot-bot nelayan tenggelam dan bumbung sebuah lapangan terbang tempatan roboh. Gempa bumi itu berpusat di Lautan Pasifik, kira-kira 100 kilometer dari pantai timur Hokkaido. Ia diikuti dengan dua gegaran susulan yang kuat dan beberapa gelombang besar (tsunami). Stesen televisyen NHK melaporkan lebih 400 orang cedera, kebanyakannya akibat terkena serpihan kaca tingkap dan ditimpa benda-benda yang jatuh di rumah. Para pegawai berkata, sekurang-kurangnya 11 orang cedera parah tetapi kebanyakan mangsa yang lain hanya mengalami luka ringan dan lebam. Sebanyak 41,000 penduduk terpaksa dipindahkan berikutan ancaman tsunami, gegaran susulan atau keruntuhan bangunan yang rosak, kata jurucakap Agensi Bomba Negara. - AP
17/04/2009
TOKYO - Pihak pentadbiran sebuah bandar kecil di Jepun memutuskan untuk melelong empat buah sekolah rendah di Internet susulan penurunan jumlah penduduk dan kadar kelahiran bayi yang rendah, lapor sebuah akhbar semalam. Seorang pegawai, Hidenori Tsutsu berkata, bandar Niikappu di utara Pulau Hokkaido merancang untuk mengadakan lelongan itu pada bulan depan di sebuah laman bidaan Yahoo di Jepun. Bandar pertanian dan perikanan itu mengalami kekurangan penduduk hingga separuh atau 5,000 pada tahun lalu berbanding 11,000 orang yang dicatatkan pada 1960. Berikutan itu, sebanyak tujuh sekolah rendah terpaksa dikosongkan. Tiga sekolah itu akan dibangunkan menjadi sebuah pejabat korporat, rumah orang tua dan pusat lumba kuda tetapi pihak berkuasa perbandaran gagal mencari pembeli untuk empat buah sekolah lagi. "Adalah perlu untuk menjual sekolah-sekolah kosong itu susulan kemerosotan kadar kelahiran bayi di bandar ini," menurut pihak berkuasa perbandaran. Kenyataan itu menyebut, harga yang diminta bermula dari AS$220,500 (RM793,742) hingga AS$682,000 (RM2.5 juta). Jepun terpaksa bergelut dengan kemerosotan kadar kelahiran terutama di kawasan luar bandar apabila generasi muda memilih untuk berhijrah ke bandar-bandar besar. - AFP
17 Ogos 2011
TOKYO: Jepun pada Rabu buat pertama kalinya membuka semula operasi komersial salah sebuah loji tenaga nuklearnya sejak gempa bumi melanda negara itu 11 Mac lalu. Hokkaido Electric Power Co. memulakan operasi ke atas loji nombor tiga sebaik sahaja menerima lampu hijau daripada Kerajaan Pusat. Hampir sepertiga daripada 54 loji tenaga nuklear Jepun ditutup ekoran gempa bumi itu - semuanya untuk tujuan pemeriksaan keselamatan dan kebocoran.
Perdana Menteri, Naoto Kan sebelum ini telah mengeluarkan garis panduan dan dasar jangka panjang baru kerajaan iaitu untuk menghapuskan semua bentuk tenaga nuklear secara berperingkat. Bagaimanapun, buat masa ini, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri mahukan kesemua loji tenaga nuklear yang telah menerima isyarat lampu hijau agar beroperasi sepertimana biasa untuk memacu ekonomi Jepun ke tahap yang diperlukan. Sumber tenaga hasil janaan loji nuklear menyumbang sehingga satu pertiga kepada tenaga elektrik domestik dan komuniti bisnes telah memberi amaran, sebarang pengurangan bekalan kepada industri negara itu akan membawa malapetaka yang lebih besar. Ekonomi Jepun adalah yang ketiga terbesar di dunia.
Sementara itu, loji tenaga nuklear Hokkaido secara tidak rasminya telah beroperasi menghasilkan tenaga elektrik sejak beberapa bulan lalu tetapi ia masih diletakkan di bawah pengawasan. Gabenor Hokkaido, Harumi Takahashi berkata, selepas mengadakan perdebatan dan rundingan dengan semua pihak, akhirnya pada Rabu beliau memberi 'lampu hijau' kepada loji tersebut untuk beroperasi secara komersial sepertimana biasa.
Krisis nuklear di Jepun bermula apabila gempa bumi terbesar dalam sejarah negara itu yang berlaku pada 11 Mac lalu telah memusnahkan enam loji nuklear di Fukushima. Gempa bumi itu juga telah mencetuskan tsunami dan secara keseluruhannya telah mengorbankan lebih 20,000 nyawa.

24 November 2011
JEPUN - Sebelum ini telah menggemparkan dunia selepas berlaku satu gempa bumi dasar laut yang bermagnitud 9.0 skala ritcher sekaligus telah mengakibatkan bencana Tsunami terdasyat dalam sejarah di Jepun. Terbaru, Satu gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan kawasan kepulauan di utara Jepun, pulau Hokkaido, semalam tetapi tiada kerosakan. Tiada amaran tsunami dikeluarkan daripada gempa yang berlaku pada pukul 7.25 petang waktu tempatan (6.25 petang waktu Malaysia), lapor Agensi Meteorologi Jepun. Gegaran di dalam laut itu berlaku pada kedalaman 30 kilometer di kawasan perairan selatan Hokkaido. Sebelum itu, satu gempa bumi sederhana berukuran 5.9 skala Richter melanda di kawasan yang sama pernah musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami Mac lalu tetapi tiada kerosakan dilaporkan.
15 Ogos 2012
WASHINGTON - Satu gempa bumi berkekuatan 7.7 pada skala Richter berlaku di Laut Okhotsk semalam, kata pemantau Amerika Syarikat dan Jepun di mana gegaran turut dirasai sehingga ke Tokyo. Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan, pusat gempa itu berlaku pada kedalaman 590 kilometer (km) yang turut dirasai di beberapa negeri di utara pulau Hokkaido, Jepun. Menurutnya, gempa bumi itu berlaku kira-kira 158 km dan berpusat pada kedalaman 625 km.