Banyak syarikat berteknologi tinggi tempatan dan luar negara yang terkemuka telah membuka cawangan dan bertapak di Kanagawa. Dengan tertubuhnya pelbagai industri teknologi tinggi ini, Kanagawa telah dijadikan sebagai pusat atau tapak penyelidikan, pembangunan dan perkilangan. Lebih daripada 400 syarikat luar negara telah memulakan operasi di prefektur Kanagawa ini, dengan 267 daripadanya dibuka sebagai cawangan utama. Jumlah ini merupakan kedua tertinggi antara semua prefektur Jepun selepas Tokyo. Antara syarikat terkemuka di Kanagawa termasuklah Toshiba, Dell Japan, Nippon Oil Corporation, dan NEC Corporation. Industri semi-konduktor dan perkapalan merupakan sumber ekonomi Kanagawa. Namun begitu, industri terbesar yang telah banyak menyumbang kepada ekonomi Kanagawa ialah industri automotif, teknologi maklumat dan bioteknologi.
Industri Automotif
Mazda dan Mercedez Benz telah menubuhkan pusat R&D di Kanagawa. Nissan Motor Co, Ltd terutamanya, telah memindahkan ibu pejabat global ke Yokohama, dan menubuhkan kilang serta pusat penyelidikan di prefektur tersebut. Syarikat automotif tempatan yang lain seperti Mitsubishi Fuso Truck and Bus Corporation, Isuzu Motors Limited, dan Bosch Corporation juga telah bertumpu di Kanagawa. Selain itu, Kanagawa juga sedang menumpukan kepada penghasilan kenderaan berelektronik / electronic vehicle (EV) dan sedang berusaha untuk mengimplimentasikan pelbagai EV yang lain termasuk bas EV dan motosikal EV, sekaligus mendahului prefektur lain di Jepun dalam penghasilan EV. Industri automotif merupakan industri utama yang telah membangunkan prefektur Kanagawa dan menyumbangkan peratusan yang besar kepada ekonomi Kanagawa.
Industri Elektronik & IT
Tahap industri Teknologi maklumat (IT) dan elektronik di Kanagawa adalah yang terunggul di Jepun. Pelbagai syarikat elektronik yang terkenal di dunia seperti Fujitsu, Canon, Toshiba, Sony dan Rico telah bertumpu dan membina cawangan baru serta menubuhkan kilang di prefektur tersebut. Fujitsu Corporation terutamanya, telah membuka cawangan utamanya di Nakahara-ku, yang dahulunya merupakan ibu pejabat syarikat tersebut. Fujitsu telah ditubuhkan pada 1935 di Kawasaki dan kini telah memindahkan ibu pejabatnya ke Tokyo. Mesyuarat dan konferens untuk pertukaran informasi dan maklumat sesama syarikat IT juga telah diadakan di Yokohama.
Yokosuka Research Park (YRP) telah dibina di Kanagawa bagi menempatkan pelbagai institusi R&D Teknologi Maklumat. YRP ini merupakan pusat R&D bagi pelbagai universiti, syarikat dan institusi penyelidikan IT dari serata dunia dan telah menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan teknologi radio & telekomunikasi. Kemudahan-kemudahan penyelidikan seperti makmal, kemudahan untuk menguji (test facilities), Pembangunan Sumber Manusia (bertujuan untuk melatih kakitangan), pejabat dan bilik mesyuarat ada disediakan di YRP. Antara syarikat IT terkemuka dunia yang bertapak di YRP termasuklah Toshiba, Fujitsu, Texas Instruments, Sony Ericsson, Sharp Corporation, Hitachi, Mitsubishi Corporation dan banyak lagi.
Industri Bioteknologi
Tahap industri bioteknologi di Kanagawa adalah yang terunggul di Jepun. Prefektur ini menjadi tumpuan banyak syarikat terkenal dunia seperti Ajinomoto, Shiseido, Takeda Pharmaceutical dan Daiichi Sankyo Company untuk membuka cawangan dan kilang di prefektur tersebut. Selain itu, di prefektur Kanagawa, Yokohoma terutamanya, sedang menumpukan kepada pembangunan syarikat bio venture.